Monday, December 1, 2008

MEREMAJAKAN GPMS


Oleh: Sahabat-Gunung

Haruskah GPMS menerima Akta Belia? Mungkin ia satu persoalan yang bermain di fikiran segenap ahli-ahlinya, begitu juga dengan aku. Bagaimana dengan senior-senior yang dah lama bersama GPMS, mereka-mereka yang sudah cukup sebati dengan perjuangan GPMS, mampukah mereka untuk `keluar mengasingkan diri’ dari wadah perjuangan suci ini. Mampukan mereka?

Inilah yang aku utarakan dalam MAT GPMS Selangor baru-baru ini. Hakikatnya, memang Akta Belia ini dirangka demi memastikan kesinambungan perjuangan anak-anak muda dalam gerakan belia di Malaysia, namun pada pandangan peribadi aku, masih ada ruang untuk mereka-mereka yang `tua’ ini turut diberikan ruang bagi membantu yang muda.

Ini aku anggap sebagai ’peremajaan GPMS’, sebab GPMS sudah mula jauh di hati anak-anak muda Melayu khususnya pelajar Melayu. Mengapa? Adakah ini salah MT GPMS atau GPMS cawangan tak buat kerja... jangan cari salah siapa, tapi kaji apa yang kita buat demi menarik belia ke dalam GPMS.

Adakah dengan program-program Seminar, sebagaimana yang aku buat di Himpunan Pelajar Melayu Merdeka pada 14 Ogos 2008 di Intekma baru-baru ini, dapat menarik minat mereka. Aku tahu dan yakin, ia tidak mampu menarik minat, namun satu pendekatan lain harus digunakan bagi tujuan tersebut.

Dalam masa yang sama, aku turut mencadangkan agar diwujudkan Koperasi GPMS Selangor. Mungkin ia dapat membantu ahli-ahli selain mencari dana untuk kegiatan-kegiatan GPMS Selangor, selain menyediakan ruang dan peluang kepada ahlinya, untuk bergiat secara aktif dalam bidang perniagaan. Selain itu, perlu diwujudkan Majlis Veteran untuk ahli-ahli GPMS yang `tua @ veteran' agar perjuangan mereka terus kukuh bersama GPMS.

Dalam masa yang sama, hubungan sesama ahli GPMS di negeri Selangor harus diberikan perhatian, perlu diperbanyakkan program anjuran bersama GPMS cawangan-cawangan serta menjalin hubungan yang lebih erat bersama Kesatuan Pelajar-Pelajar Melayu Selangor (KPPMS), memandangkan mereka juga badan gabungan kepada GPMS.

Ini semua tidak boleh dijadikan impian, sekiranya kita di peringkat Selangor tidak benar-benar jujur dan komited untuk merealisasikannya. Sehubungan dengan itu, kerjasama semua pihak perlu seiring dengan impian, Insya-Allah GPMS akan kembali perkasa dan menjadi wadah perjuangan ’membebaskan’ pelajar-pelajar Melayu dari belenggu masalah.

Kepada tuhan ku mohon doa agar perjuangan GPMS diberkati dan dirahmati olehNya. `Belajar Terus Belajar’