Thursday, October 23, 2008

GPMS SOKONG KONTRAK SOSIAL JADI MODUL PEMBELAJARAN

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) ingin menyatakan sokongan penuh dan bersetuju dengan cadangan agar perkara Kontrak Sosial dijadikan sebagai sebahagian daripada modul pembelajaran di institusi pendidikan. Titah Duli Sultan Perak berkenaan perkara disebut wajar diangkat sebagai sebuah cadangan yang wajar dilaksanakan segera.

Presiden GPMS, Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, GPMS ingin menyatakan pendirian bahawa 'apresiasi dan gerak rasa sejarah' (sense of history) ini adalah amat penting bagi sebuah bangsa yang berjaya. Sejarah tidak boleh dirubah-rubah mengikut kehendak dan kemahuan sendiri. Lebih malang lagi - sekiranya fakta sejarah diangkat secara songsang untuk mencapai maksud yang sempit dan kecil. Apa yang berlaku kebelakangan ini, wajar memberikan kita iktibar bahawa wujud segelintir individu yang sanggup 'menyongsangkan' sejarah untuk mencapai kepentingan peribadi yang cukup dangkal.

Saranan Duli Tuanku, wajar dilihat secara bersama dengan beberapa cadangan lain yang dikemukakan mutakhir ini - termasuk langkah mengadakan subjek Sejarah di peringkat yang paling asas. GPMS sememangnya bersetuju dan mengharapkan agar usaha dilaksanakan segera untuk memastikan modul pembelajaran sejarah dapat direalisasikan segera di peringkat yang awal. Ianya juga bersesuaian dengan ingatan tegas Majlis Raja-Raja tentang keperluan isu 'kontrak sosial' ini diterima dan dihargai oleh semua pihak.

GPMS cukup yakin - usaha pemantapan modul sejarah dan apresiasinya yang holistik akan mampu melahirkan generasi muda yang lebih bertanggungjawab dan 'sedar' dengan realiti yang ada. Kita tidak mahu melahirkan kalangan generasi muda yang tidak mempunyai langsung asas apresiasi kepada sejarah Bangsa.

Tamadun dan bangsa hebat dunia; adalah kalangan tamadun dan bangsa yang tidak pernah terkeliru dan dikelirukan oleh 'sejarah'. Fakta dan asas sejarah tidak boleh dijadikan isu yang boleh dirubah-rubah mengikut suasana politik dan sebagainya. Bangsa Malaysia perlu cepat belajar untuk menerima hakikat sejarah dan tidak cuba untuk menghuraikannya tanpa ada rasa kebertanggungjawaban.

Pelaksanaan segera kepada penyediaan modul sejarah ini akan memberikan impak yang baik. Kita tidak mahu wujud aliran apresiasi sejarah yang berbeza-beza hanya kerana untuk melampiaskan niat politik sesetengah pihak. Apa yang benar dan hakikat - mesti diterima sebagai asas kepada sejarah bangsa. Cubaan untuk merubah sejarah, dalam apa jua perspektif sekalipun; adalah suatu cubaan yang tidak bertanggungjawab.

Tuesday, October 21, 2008

GMPS Gesa Kekalkan ISA, UiTM

SHAH ALAM - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor semalam mengemukakan pendirian bahawa Universiti Teknologi Mara (UiTM) harus mengekalkan keadaan sekarang tanpa membuka kuota kepada pelajar bukan Bumiputera.

Pengerusi GPMS, Mohamad Mustafa Latif mewakili seluruh ahli GPMS negeri ini menegaskan bahawa bangsa Melayu perlu mempertahankan keistimewaan yang dianugerahkan ini sampai bila-bila.

“Kita tidak mahu UiTM diberikan kepada bangsa lain kerana itulah satu-satunya harta yang kita ada dan kita seharusnya mempertahankan hak itu.

“Dari segi persaingan pula, saya percaya anak Melayu ramai yang bijak pandai dan mereka boleh bersaing secara sihat di kalangan mereka untuk memantapkan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor 2008 bertempat di Universiti Industri Selangor (Unisel), di sini.

Beliau yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan berkata UiTM merupakan benteng terakhir orang Melayu bagi memperkukuhkan kedudukan agar tidak tercicir terutamanya dalam sistem pendidikan negara.

Sementara itu, beliau berkata GPMS Selangor turut mahu Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) dikekalkan kerana akta berkenaan mapu menjamin keselamatan negara ini daripada anasir-anasir yang berniat jahat sehingga boleh mengganggu gugat keharmonian serta hubungan antara kaum.

“ISA adalah benteng terakhir yang boleh menyelamatkan negara kita. Saya mohon kepada pihak yang mahu ISA dihapuskan agar berfikir semula kerana sekiranya tiada akta tersebut di negara kita, bagaimana pihak kerajaan mahu menangani kes-kes seperti rusuhan kaum, tunjuk perasaan dan sebagainya,” katanya.

Beliau yang juga Yang Dipertua GPMS Gombak mengingatkan kembali bahawa selama ini ISA telah menyelamatkan negara dari anasir-anasir yang cuba menggugat keharmonian negara.

“Kami amat berharap agar akta ISA teruskan dikekalkan kecuali beberapa elemen kecil yang perlu diperhalus supaya lebih telus dan adil,” katanya.

Bagi menunjukkan sokongan berkenaan, ahli-ahli GMPS Selangor menurunkan tanda tangan pada sebuah buku khas dan kain rentang yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Dalam perkembangan yang sama, beliau meminta agar GMPS yang akan diserapkan di bawah Akta Belia dikaji semula kerana akan memberi kesan jika peralihan secara drastik dilaksanakan tahun hadapan.

“Sebelum penguatkuasaan, ahli yang berusia lebih 40 tahun boleh meneruskan tugasan seperti biasa, tetapi selepas itu mereka hanya boleh menjadi ahli biasa tidak boleh mengundi dan diundi. Malah jawatan hanya boleh disandang ahli yang berusia 40 tahun ke bawah.

“Ia bertujuan untuk memberi peluang kepada generasi baru untuk memegang jawatan di dalam persatuan dan melatih mereka untuk meneruskan kepimpinan yang sedia ada hari ini,” ujarnya.

Tambahnya, setiap cawangan perlulah agresif dan proaktif bagi memenuhi cita rasa dan inspirasi generasi muda hari ini dalam membentuk belia ke arah yang lebih positif.

Sambutan Aidilfitri GPMS Unisel S.A

berlangsung pd 18 oct 08 bertempat di bilik rekreasi Unisel Shah Alam telah berlangsung sambutan Aidilfitri GPMS Unisel Shah Alam. Majlis yang julung-julung kali diadakan ini bertujuan merapatkan hubungan silaturahim di antara ahli-ahli GPMS Unisel Shah Alam dengan GPMS seluruh negeri Selangor. Majlis telah dimulakan dengan mesyuarat tahunan GPMS Negeri Selangor yang telah dipengerusikan oleh Pengerusi GPMS Selangor, En. Mustapa Latiff dan turut dimeriahkan dengan kehadiran En. Mohd Faizal selaku Exco GPMS Pusat.


Ahli MT GPMS Unisel Shah Alam


bibi ditemubual oleh wartawan sinar harian


En. Mohd Faizal, Exco GPMS Pusat




ucaptama dari En. Mustapa






Presiden GPMS Unisel Shah Alam



Friday, October 17, 2008

Ujian Sejarah dalam UPSR 2013

KUALA LUMPUR: Mata pelajaran Sejarah akan dimasukkan dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2013 apabila subjek itu diajar secara khusus kepada murid Tahun 3 pada 2010.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, berkata perkara itu sedang dikaji dalam Transformasi Kurikulum Sekolah Rendah, yang dijangka beroperasi dua tahun lagi.

"Kita ambil kira saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahukan subjek Sejarah diwajibkan pada peringkat sekolah rendah. Kita bercadang menjadikan mata pelajaran ini diajar secara khusus bermula Tahun 3 sehingga Tingkatan 5.

"Sukatan pelajarannya akan ditentukan selepas perbincangan mendalam dilaksanakan membabitkan semua pihak dan mereka yang berminat," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Beliau berkata, unsur sejarah pula akan diterapkan melalui Bidang Kemanusiaan dan Bidang Bahasa bagi murid Tahun 1 dan 2.

Razali berkata, ketika ini, kandungan Sejarah pada peringkat sekolah rendah terkandung dalam mata pelajaran Kajian Tempatan.

"Unsur Sejarah diberikan pendedahan kepada murid sekolah bertujuan melahirkan murid yang berpengetahuan mengenai hubungan mereka dengan masyarakat, memahami dan menghargai sejarah negara.

"Kandungan yang berkaitan dengan komponen Sejarah ialah menekankan mengenai tema berkaitan Mengenal Negara Kita dan Sejarahnya serta Ekonomi dan Kejayaan Negara," katanya.

BH-17/10/2008


GPMS Unisel Shah Alam menyokong sepenuhnya hasrat ini dalam memastikan generasi akan datang dibekalkan dengan pengetahuan tentang fakta sejarah yang sebenar. Dalam keadaan intergriti antara kaum semakin lemah, seharusnya setiap lapisan masyarakat perlu kembali kepada asas sejarah dalam mengelakkan perselisihan faham yang akhirnya membawa kepada kemusnahan negara.

Kontrak sosial tidak wajar dipertikai

  • RAJA-RAJA Melayu mempunyai peranan Perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, melindungi agama Islam, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah kaum lain di Malaysia.

  • Tindakan pihak tertentu mempertikai dan mempersoalkan perkara itu yang menjadi asas utama pembentukan negara Malaysia dan termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan menimbulkan kegusaran dan keresahan rakyat.

  • Sebagai tindak balas, beberapa pihak terutama pemimpin Melayu, sama ada yang berada dalam kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan menyuarakan rasa tidak puas hati dan marah terhadap pihak yang membuat kenyataan dan laporan serta menganjurkan forum berkenaan.

  • Antara sebab dikenal pasti berlaku perkara ini ialah kedangkalan pengetahuan pihak berkenaan terhadap latar belakang sejarah, mengapa peruntukan itu dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan pengaruh prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diimplikasikan di negara ini tanpa berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara ini. Kepentingan politik sempit juga penyebab berlaku perkara ini.

  • Gejala ini, jika tidak ditangani boleh menyebabkan negara terjebak dalam kancah perpecahan dan persengketaan kaum yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini membawa kemajuan, pembangunan dan kejayaan kepada negara.
  • Justeru, adalah perlu Majlis Raja-Raja menegaskan dan memperingatkan semua pihak mengenai peruntukan Perlembagaan di samping memberi penekanan jaminan perlindungan hak sah kaum lain.

  • Perlu ditegaskan, setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan sudah melalui proses perbincangan pertimbangan, konsultansi, pengorbanan dan sifat tolak ansur yang sangat tinggi nilainya bagi apa yang diperjuang, diperbincang, dipertimbang dan dimanfaatkan serta dipersetujui semua pihak terbabit, sehingga wujud peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang dikenali sebagai kontrak sosial.

    l Kontrak sosial ini tidak wajar dipertikai dan dipersoalkan, lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah kerana ia asas utama pembentukan Malaysia. Untuk itu Raja-Raja Melayu memperingatkan supaya isu berkaitan kontrak sosial tidak sekali-kali cuba diuji dan dicabar.

  • Sesungguhnya, angkatan pemimpin pada era prakemerdekaan berfikiran dalam dan berpandangan jauh. Raja-Raja Melayu dibawa bersama ketika rundingan menuntut kemerdekaan. Institusi raja dikekalkan dan dimaktubkan secara perundangan dalam Perlembagaan Malaysia Merdeka.
  • Institusi raja diberikan kemuliaan, ditempatkan di puncak kerajaan, sebagai Ketua Negara dan Ketua Negeri, laksana payung pelindung, menjamin berlaku kesaksamaan di kalangan warga. Institusi raja berperanan sebagai faktor penyemak dan pengimbang, untuk merungkai sebarang kekusutan, sekiranya berlaku.

  • Majlis Raja-raja juga meminta orang Melayu supaya bersatu-padu untuk mempertahankan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, melindungi agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah kaum lain di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

  • Penekanan perlu dibuat bahawa agenda itu lebih penting dan utama daripada kepentingan politik atau kelompok.

  • Kaum bukan Melayu tidak perlu khuatir dan bimbang mengenai hak sah mereka kerana ia dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan yang terkandung dalam Undang-Undang Tubuh Negeri-negeri di Malaysia yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

  • Diharapkan, dengan penegasan itu, segala kekeliruan berhubung perkara ini di kalangan rakyat dapat dibendung dan suatu suasana harmoni, aman dan sikap saling hormat menghormati di kalangan rakyat dapat terus diwujudkan demi menjaga ketenteraman negara.

  • BH-17/10/2008

    Rumah Terbuka Aidilfitri GPMS Unisel Shah Alam

    GPMS Unisel Shah Alam akan menganjurkan rumah terbuka aidilfitri seperti maklumat berikut

    Tarikh : 19 Oktober 2008
    Tempat : Bilik Rekreasi Unisel Shah Alam
    Masa : 10.00 pagi

    sebarang perubahan maklumat akan diberitahu kelak..

    Majlis Raja-Raja bersuara lindung hak Islam, Melayu

    KUALA TERENGGANU: Majlis Raja-Raja mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak lagi mempertikai dan mempersoalkan kontrak sosial, apa lagi menyemak semula atau mengubahnya kerana ia menjadi asas utama pembentukan negara ini.

    Dalam kenyataan khas selepas mesyuarat ke-215 di Istana Maziah di sini semalam, Majlis Raja-Raja menegaskan, kaum bukan Melayu tidak perlu bimbang mengenai hak sah mereka kerana ia dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

    "Adalah diharapkan dengan penegasan itu, segala kekeliruan berhubung perkara ini di kalangan rakyat dapat dibendung dan suatu suasana yang harmoni, aman dan sikap saling hormat menghormati di kalangan rakyat dapat terus diwujudkan demi menjaga ketenteraman negara," kata kenyataan itu.

    Kenyataan khas Majlis Raja-Raja itu disampaikan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah dan dikeluarkan oleh Bernama.

    Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat menghadiri mesyuarat itu dengan diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Mesyuarat dua hari yang berakhir semalam, dipengerusikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

    Engku Ibrahim menjelaskan, Raja-Raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta kepentingan sah kaum lain di negara ini.

    "Tindakan pihak tertentu mempertikai dan mempersoalkan perkara itu yang menjadi asas utama pembentukan negara dan termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan, telah menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat.

    "Sebagai tindak balas, beberapa pihak terutama pemimpin Melayu, sama ada dalam kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan, telah menyuarakan rasa tidak puas hati dan marah terhadap pihak yang membuat kenyataan dan laporan dan menganjurkan forum-forum berkenaan," katanya.

    Beliau berkata, gejala itu jika tidak ditangani segera boleh menyebabkan negara terjebak dalam kancah perpecahan dan persengketaan antara kaum hingga menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini telah membawa kemajuan, pembangunan dan kejayaan kepada negara.

    "Untuk itu, Raja-Raja Melayu wajar mengingatkan supaya isu berkaitan kontrak sosial tidak sekali-kali cuba diuji dan dicabar.

    "Majlis Raja-Raja juga membuat seruan kepada orang Melayu supaya bersatu padu untuk mempertahankan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, melindungi agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah kaum lain di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

    "Penekanan juga perlu dibuat bahawa agenda ini adalah lebih penting dan utama dari kepentingan politik atau kelompok," katanya.

    Engku Ibrahim berkata, perkara berkaitan pertahanan, keselamatan, kedudukan ekonomi negara, Biasiswa Yang di-Pertuan Agong termasuk cadangan pelantikan Ketua Hakim Negara Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya turut dibincangkan dalam mesyuarat itu.

    Semua Sultan dan Yang Dipertua Negeri menghadiri mesyuarat itu kecuali Pahang, Johor, Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan.

    Sultan Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Sultan Johor diwakili Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar dan Sultan Terengganu diwakili Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

    Negeri Sembilan diwakili Pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Jaafar dan Perlis diwakili Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

    Turut hadir, Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua menteri kecuali Sarawak yang diwakili Menteri II Perancangan dan Pengurusan Sumber Datuk Seri Awang Tengah Ali Hasan.

    BH-17/10/2008

    Tuesday, October 14, 2008

    Pengambilan Ahli Baru

    Kepada mahasiswa Melayu yang ingin menyertai Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Caw. Khas Unisel Shah Alam, sila hadir di booth kami bersebelahan cafe Unisel dari 14 oktober - 17 oktober 2008, dari jam 9.00 pagi sehingga 5.00 petang. Harap maklum