Friday, October 17, 2008

Kontrak sosial tidak wajar dipertikai

  • RAJA-RAJA Melayu mempunyai peranan Perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, melindungi agama Islam, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah kaum lain di Malaysia.

  • Tindakan pihak tertentu mempertikai dan mempersoalkan perkara itu yang menjadi asas utama pembentukan negara Malaysia dan termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan menimbulkan kegusaran dan keresahan rakyat.

  • Sebagai tindak balas, beberapa pihak terutama pemimpin Melayu, sama ada yang berada dalam kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan menyuarakan rasa tidak puas hati dan marah terhadap pihak yang membuat kenyataan dan laporan serta menganjurkan forum berkenaan.

  • Antara sebab dikenal pasti berlaku perkara ini ialah kedangkalan pengetahuan pihak berkenaan terhadap latar belakang sejarah, mengapa peruntukan itu dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan pengaruh prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diimplikasikan di negara ini tanpa berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara ini. Kepentingan politik sempit juga penyebab berlaku perkara ini.

  • Gejala ini, jika tidak ditangani boleh menyebabkan negara terjebak dalam kancah perpecahan dan persengketaan kaum yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini membawa kemajuan, pembangunan dan kejayaan kepada negara.
  • Justeru, adalah perlu Majlis Raja-Raja menegaskan dan memperingatkan semua pihak mengenai peruntukan Perlembagaan di samping memberi penekanan jaminan perlindungan hak sah kaum lain.

  • Perlu ditegaskan, setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan sudah melalui proses perbincangan pertimbangan, konsultansi, pengorbanan dan sifat tolak ansur yang sangat tinggi nilainya bagi apa yang diperjuang, diperbincang, dipertimbang dan dimanfaatkan serta dipersetujui semua pihak terbabit, sehingga wujud peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang dikenali sebagai kontrak sosial.

    l Kontrak sosial ini tidak wajar dipertikai dan dipersoalkan, lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah kerana ia asas utama pembentukan Malaysia. Untuk itu Raja-Raja Melayu memperingatkan supaya isu berkaitan kontrak sosial tidak sekali-kali cuba diuji dan dicabar.

  • Sesungguhnya, angkatan pemimpin pada era prakemerdekaan berfikiran dalam dan berpandangan jauh. Raja-Raja Melayu dibawa bersama ketika rundingan menuntut kemerdekaan. Institusi raja dikekalkan dan dimaktubkan secara perundangan dalam Perlembagaan Malaysia Merdeka.
  • Institusi raja diberikan kemuliaan, ditempatkan di puncak kerajaan, sebagai Ketua Negara dan Ketua Negeri, laksana payung pelindung, menjamin berlaku kesaksamaan di kalangan warga. Institusi raja berperanan sebagai faktor penyemak dan pengimbang, untuk merungkai sebarang kekusutan, sekiranya berlaku.

  • Majlis Raja-raja juga meminta orang Melayu supaya bersatu-padu untuk mempertahankan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, melindungi agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah kaum lain di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

  • Penekanan perlu dibuat bahawa agenda itu lebih penting dan utama daripada kepentingan politik atau kelompok.

  • Kaum bukan Melayu tidak perlu khuatir dan bimbang mengenai hak sah mereka kerana ia dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan yang terkandung dalam Undang-Undang Tubuh Negeri-negeri di Malaysia yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

  • Diharapkan, dengan penegasan itu, segala kekeliruan berhubung perkara ini di kalangan rakyat dapat dibendung dan suatu suasana harmoni, aman dan sikap saling hormat menghormati di kalangan rakyat dapat terus diwujudkan demi menjaga ketenteraman negara.

  • BH-17/10/2008

    No comments: