Friday, May 30, 2008

PINDA AUKU GALAK PELAJAR TERLIBAT AKTIVITI MEMBINA

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 mampu menggalakkan pembabitan pelajar dalam semua kegiatan yang membina dan konstruktif. Pindaan tersebut bagaimanapun masih diteliti oleh Peguam Negara dan akan diserahkan kepada Kabinet untuk diputuskan sebelum dibentang di Parlimen.

'Jika tidak ada apa-apa aral melintang, pindaan itu akan dibentangkan di Parlimen pada sesi depan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan.

Ditanya sama ada kegiatan membina yang dimaksudkan itu termasuk bidang politik, Najib berkata, semua pihak perlu menunggu sehingga akta tersebut disiapkan.

''Saya bukannya kata tak ada politik. Yang saya maksudkan ialah (penglibatan) konstruktif kerana politik dan politik berparti adalah dua perkara berbeza.

Menurutnya, kewujudan AUKU tidak pernah mengongkong pelajar dan ia telah dibuktikan oleh pelajar yang hadir pada hari ini. Kalau AUKU penghalangnya, tidak mungkin pemimpin pelajar yang saya lihat hari ini mampu menunjukkan kematangan dari segi pemikiran dan kelakuan mereka.

Menurutnya, keraguan terhadap dasar itu lebih banyak berpunca daripada sikap kurang faham dan tindakan pihak tertentu mempolitikkan beberapa peruntukan dalam akta itu.

Mengenai isu pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) sama ada ia berundur riba atau sebaliknya, Najib berkata, perkara tersebut akan diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Kita mahu menyelesaikan masalah ini (isu riba) secara muktamad.

Beliau menambah, Kementerian Pengajian Tinggi juga sedang menyemak kadar caj perkhidmatan PTPTN yang didakwa pelajar sebagai amat membebankan untuk pertimbangan kerajaan.

Najib berkata, kerajaan juga akan menimbangkan permintaan pelajar supaya 'kad diskaun pelajar kebangsaan' diwujudkan bagi membolehkan mereka mendapatkan potongan apabila membeli barangan atau mendapatkan perkhidmatan. Dalam pada itu, mesyuarat tahunan itu turut membincangkan soal perpaduan nasional dan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

Tuesday, May 27, 2008

Sekelumit Sejarah GPMS

Sekitar tahun 1945 hingga 1946, Aminuddin Baki mula menunjukkan minat terhadap persatuan pelajar. Beliau sangat kagum dengan Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu yang ditubuhkan pada 20 November 1945 di Victoria Institution, Kuala Lumpur walaupun persatuan itu hanya mempunyai 11 orang ahli. Persatuan ini kemudiannya bertukar nama kepada Kesatuan Kesuratan Penuntut-Penuntut Melayu yang ditubuhkan pada 11 Februari 1946, dengan tujuan menyatukan semua persatuan pelajar di Tanah Melayu. Manakala, Aminuddin pula telah dilantik sebagai setiausaha.

Pada masa yang sama, beliau telah menubuhkan persatuan pelajar di Perak yang dikenali sebagai Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu Insaf (PERMI) pada April 1946. Namun begitu penglibatannya hanya sementara kerana pada Oktober 1947, beliau telah diterima sebagai pelajar di Kolej Raffles yang kini merupakan sebahagian daripada Universiti Nasional Singapura sejak 8 Oktober 1949.

Di sinilah Aminuddin telah bertemu dengan Abdul Wahab Mohamed Ariff apabila mereka tinggal sebilik. Abdul Wahab pada ketika itu adalah Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Kolej Perubatan dan Kolej Raffles, Singapura dan sangat mengambil berat tentang jumlah pelajar-pelajar Melayu di pusat Pengajian Tinggi. Jadi, mereka selalu berbincang mengenai pergerakan pelajar dan akhirnya mereka melahirkan idea menubuhkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung. Antara mereka yang turut memberi sokongan kepada idea ini ialah Mohd. Nor Marahakim, Abdullah Majid dan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Bermula dengan persidangan yang membabitkan tujuh kesatuan pelajar di Jalan Tambun, Ipoh, satu konvensyen pelajar Melayu dari seluruh Semenanjung Tanah Melayu telah diadakan di Kuala Lumpur pada 14 dan 15 Ogos 1948. Di sinilah satu ketetapan dibuat untuk bersetuju menubuhkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung atau lebih dikenali dengan singkatan GPMS.

Penubuhan GPMS digerakkan oleh lima orang mahasiswa dari Kolej Raffles dan Kolej Perubatan King Edward di Singapura (kolej ini kemudiannya menjadi Universiti Malaya, Singapura selepas bergabung dengan Kolej Raffles). Mereka yang bertanggungjawab mengadakan konvensyen dan menubuhkan Jawatankuasa Sementara GPMS dibarisi oleh Aminuddin Baki (Presiden GPMS 1950-1951 dan 1952-1953), Datuk Paduka Prof. Abdul Wahab Mohamed Ariff (Presiden GPMS 1948-1949), Mohd. Nor Marahakim, Abdullah Majid dan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

GPMS adalah satu-satunya persatuan pelajar kebangsaan yang pertama ditubuhkan di negara ini hasil dari kesedaran akan pentingnya bidang akademik di kalangan anak-anak Melayu. GPMS memperkenalkan konsep kelas bimbingan sejak tahun 1950-an lagi. Kegiatan kelas bimbingan ini mendapat sambutan yang cukup baik daripada pelajar dan masyarakat pada masa itu. Mulai tahun 1960-an, pertubuhan belia negara ini mula menjadikan kelas bimbingan sebagai aktiviti persatuan.

Dalam tahun 1958, GPMS mula meneroka aktiviti-aktiviti baru dengan mengadakan kursus untuk pelajar. Dalam kursus ini, konsep perkhidmatan masyarakat mula diperkenalkan. Ahli-ahli GPMS khususnya dari Universiti Malaya bergerak mendampingi masyarakat dan meniupkan kesedaran ke dalam diri mereka akan peri pentingnya pelajaran sebagai kunci kemajuan bangsa. Sebagai susulan daripada kejayaan program itu, projek Gerakan Obor pula dipergiatkan. Pada tahun 1971, GPMS melancarkan Operasi Pembangunan Masyarakat di beberapa buah tempat di tanah air.

Sejak tahun 1970-an, GPMS berusaha membantu pelajar melalui program siri Ceramah Teknik Menjawab Soalan Peperiksaan SPM Dan STPM. Zaman terus berlalu, GPMS ikut merintis program-program baru seperti Ceramah Motivasi, Seminar Teknik Pembelajaran Secara Berkesan, Seminar Bimbingan Kerjaya, Peluang Melanjutkan Pelajaran, Kem Pendidikan dan Kem Kerjaya. Segala aktiviti yang menjurus kepada pendidikan mencerminkan perjuangan utama dan iltizam GPMS. GPMS sentiasa bekerjasama dengan badan dan organisasi lain yang berusaha meninggikan taraf pendidikan anak-anak bangsa Melayu.

Dalam usianya sudah mencecah 60 tahun, perjuangan GPMS berhasil memperkasakan perjuangan pelajar Melayu yang tidak pernah kunjung padam. GPMS yang mempunyai cawangan dan badan gabungan di seluruh semenanjung berusaha tanpa jemu untuk kecemerlangan pendidikan pelajar-pelajar Melayu demi maruah bangsa dan negara.

Berbekalkan moto ‘Belajar Terus Belajar’, GPMS terus memperjuangkan dan membela nasib pelajar-pelajar Melayu. Mudah-mudahan usaha murni ini demi memartabatkan agama Islam, bangsa Melayu dan bumi Malaysia yang tercinta ini akan mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah s.w.t.

Sunday, May 25, 2008

AMINUDDIN BAKI- Pengasas GPMS


“Orang bertambah kaya, makmur hidupnya dan bertambah maju pelajarannya. Adakah kita akan terus menjadi pemerhati sahaja dan dengan demikian bertambah jauhlah tertinggal di belakang. Di zaman orang naik jet dan kapal angkasa, adakah kita akan terus berjalan kaki dan berkereta lembu? Relakah kita berdagang di tanah air sendiri?” (Aminuddin Baki, sebahagian petikan ucapan di Program Gerakan Obor pada 28 Januari 1964)


Aminuddin Baki adalah “Bapa Pendidikan Malaysia” dilahirkan pada 6 Januari 1926 di sebuah kampung dalam daerah kecil Chemor di Perak. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Chemor dari tahun 1932 hingga 1936. Selepas lulus peperiksaan darjah lima beliau meneruskan pelajarannya di Sekolah Anderson, Ipoh. Sekolah tersebut merupakan sekolah Inggeris terbaik dan mempunyai guru yang baik dan berpengalaman. Aminuddin belajar di sekolah tersebut dari tahun 1936 hingga 1941.

Sekitar tahun 1945 hingga 1946 beliau mula menunjukkan minat dengan persatuan pelajar. Beliau sangat kagum dengan Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu yang ditubuhkan pada 20 November 1945 di Victoria Institution, Kuala Lumpur. Pada ketika itu hanya mempunyai 11 orang ahli. Persatuan ini kemudiannya menjadi Kesatuan Kesuratan Penuntut-Penuntut Melayu yang ditubuhkan pada 11 Februari 1946. Kesatuan ini telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi menyatukan semua persatuan pelajar di negara ini dan Aminuddin telah dilantik sebagai setiausaha. Pada masa yang sama beliau telah menubuhkan Persatuan Pelajar di Perak yang dikenali sebagai Persatuan Pelajar-pelajar Melayu Insaf (PERMI) pada bulan April 1946. Namun begitu penglibatannya hanya sementara kerana pada bulan Oktober 1947 beliau diterima sebagai pelajar di Raffles College, sebuah kolej termasyhur.

Pada masa ini UMNO telah ditubuhkan bagi menentang penubuhan Malayan Union. Dalam masa yang sama pemimpin-pemimpin persatuan pelajar digalakkan berusaha ke arah pencapaian matlamat mereka. Oleh kerana itu, Aminuddin dan pemimpin pelajar lain mengambil keputusan untuk menubuhkan persatuan yang lebih kuat. Tujuh persatuan telah bersidang selama dua hari di Jalan Tambun, Ipoh. Hasil daripada persidangan itu terbentuklah Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada 15 Ogos 1948.

Walau bagaimanapun, pada tahun 1949 Aminuddin terpaksa berhenti bergiat aktif dalam persatuan pelajar kerana ditawarkan ke Universiti Malaya. Pada ketika itu beliau hanya mengikuti perkembangan persatuan dari jauh sahaja. Semasa di universiti beliau berminat mengajar dan untuk menimba pengalaman beliau telah mendaftar sebagai guru sambilan di Anglo-Malay Evening School. Beliau telah mengajar di sekolah itu dari tahun 1949 hingga 1951. Dalam tahun 1950, beliau bergiat aktif dalam GPMS dan dilantik sebagai Yang Dipertua persatuan. Dalam tahun yang sama beliau telah lulus peperiksaan Sarjana Sastera dan pada tahun berikutnya, lulus Ijazah Kepujian Sarjana Sastera.

Selepas menamatkan pelajarannya, beliau kembali ke Perak dan menjadi guru di Sekolah Inggeris Sultan Yusuf di Batu Gajah. Pada tahun 1951 hingga Julai, 1952, beliau telah berkhidmat di Sekolah Anderson. Beliau telah melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan di Institut Pendidikan, Universiti London dengan Biasiswa Queen. Beliau meninggalkan Pulau Pinang dengan menaiki kapal SS Canton pada 12 Julai 1952. Aminuddin menamatkan pengajiannya pada bulan Julai 1953 dengan mendapat Ijazah Master of Methods dalam bidang pendidikan.

Selepas pulang ke tanahair beliau ditawarkan jawatan Pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim. Sumbangan besarnya kepada pelajar dengan memperkenalkan Sejarah Islam tetapi tidak termasuk dalam sukatan pelajaran. Pada bulan September 1955, Aminuddin terlibat dalam menyediakan Laporan Pendidikan Razak dan pada tahun 1960 pula beliau dipilih sebagai ahli jawatankuasa penasihat dalam menyiapkan Laporan Rahman.

Pada usia 36 tahun beliau telah dilantik menjadi Ketua Pegawai Pendidikan Selangor. Pada masa yang sama beliau aktif dalam persatuan dan pertubuhan lain seperti Senat Universiti Malaya, Persatuan Al-Rahman, Persatuan Sejarah Tanah Melayu dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Dengan usaha beliau juga peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) diwujudkan. Beliau telah menubuhkan Lembaga Peperiksaan pada tahun 1963. Aminuddin Baki meninggal dunia pada 24 Disember 1965 kerana diserang penyakit jantung selepas menunaikan sembahyang. Pada ketika itu memegang jawatan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia.

DISIPLIN PELAJAR TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Oleh: Mohd Faizal Mohd Salleh

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) memandang serius isu disiplin di kalangan pelajar-pelajar sekolah pada hari ini. Isu ini telah dibangkitkan berulang-ulang kali oleh pelbagai pihak namun ianya masih tidak dapat diselesaikan.

GPMS melahirkan kebimbangan dalam isu disiplin kerana ia menyebabkan fokus para pelajar kepada pelajaran mereka akan terganggu.

Masalah disiplin dikalangan pelajar ini perlu dilihat dalam skop yang lebih besar jika ianya ingin diselesaikan. Beberapa elemen penting yang menjadi para pelajar tidak berdisiplin perlulah dikaji.

Latarbelakang keluarga, suasana sekolah dan keadaan persekitaran mempengaruhi tindakan para pelajar untuk melanggar peraturan yang ditetapkan. GPMS berpendapat peranan semua pihak diperlukan dalam memastikan permasalahan ini dapat dibendung.

Oleh yang demikian GPMS mencadangkan langkah-langkah yang boleh diambil bagi membendung masalah disiplin para pelajar dari terus berleluasa:

1. Perjumpaan berkala di antara ibu bapa dengan pihak sekolah bagi memastikan hubungan kedua-duanya sentiasa terjalin bagi membincangkan prestasi dan disiplin anak-anak mereka di sekolah.

2. Pertemuan para pelajar dengan pihak berkuasa seperti polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (ADK) perlu diadakan dengan lebih kerap bagi mendapat penjelasan tentang masalah jenayah setempat yang sedang dihadapi dan kesannya kepada diri pelajar.

3. Mewujudkan kumpulan pemantau diantara guru, ibu bapa, pihak polis dan pelajar bagi memastikan para pelajar sentiasa dikawal.

4. Menjalankan kursus-kursus yang boleh memberi pendedahan kepada para pelajar tentang potensi yang ada pada diri masing-masing supaya mereka menumpukan sepenuh perhatian untuk berjaya dalam pelajaran.


Nota; Mohd Faizal Mohd Salleh ialah Ahli Majlis Tertinggi merangkap Pengerusi Biro Anti Dadah & Gejala Sosial GPMS Kebangsaan.

Selamat Datang ke Blog GPMS Unisel Shah Alam

Assalammualaikum

Dalam kesempatan ini, saya bagi pihak Ahli Jawatankuasa GPMS Cawangan Khas UNISEL Shah Alam ingin mengucapkan terima kasih kerana sudi melayari blog kami yang tak seberapa ini. Budak-budak baru belajarlah katakan....

Sesungguhnya GPMS Cawangan Khas UNISEL Shah Alam masih baru. Kami berbesar hati kerana diberikan peluang dan ruang dari sahabat-sahabat GPMS yang lain, yang sudi menerima kehadiran kami dalam perjuangan GPMS.

Kami sedar, sebagai orang baru, masih banyak yang perlu kami pelajari. Oleh itu, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Saudara Amir Hamzah ismail dan seluruh ahli dan kepimpinan GPMS Cawangan Shah Alam yang sudi bersama kami, memberikan tunjuk ajar kepada kami.

Insya-Allah dengan kerjasama erat ini nanti, mampu melahirkan insan pejuang dari kalangan ahli GPMS Unisel Shah Alam.

Oleh itu, kami menyahut perjuangan GPMS berlandaskan SEDAR:

SEDAR atas perlunya disatukan tenaga sekalian pelajar-pelajar Melayu dari segenap lapisan.

SEDAR atas kemunduran kami di alam pengetahuan

SEDAR atas kewajipan kami untuk meninggikan darjat pengetahuan bangsa

SEDAR bahawa maju-mundur, kaya miskin dan hina-mulianya bangsa itu terletak di tangan kami.....