Tuesday, May 27, 2008

Sekelumit Sejarah GPMS

Sekitar tahun 1945 hingga 1946, Aminuddin Baki mula menunjukkan minat terhadap persatuan pelajar. Beliau sangat kagum dengan Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu yang ditubuhkan pada 20 November 1945 di Victoria Institution, Kuala Lumpur walaupun persatuan itu hanya mempunyai 11 orang ahli. Persatuan ini kemudiannya bertukar nama kepada Kesatuan Kesuratan Penuntut-Penuntut Melayu yang ditubuhkan pada 11 Februari 1946, dengan tujuan menyatukan semua persatuan pelajar di Tanah Melayu. Manakala, Aminuddin pula telah dilantik sebagai setiausaha.

Pada masa yang sama, beliau telah menubuhkan persatuan pelajar di Perak yang dikenali sebagai Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu Insaf (PERMI) pada April 1946. Namun begitu penglibatannya hanya sementara kerana pada Oktober 1947, beliau telah diterima sebagai pelajar di Kolej Raffles yang kini merupakan sebahagian daripada Universiti Nasional Singapura sejak 8 Oktober 1949.

Di sinilah Aminuddin telah bertemu dengan Abdul Wahab Mohamed Ariff apabila mereka tinggal sebilik. Abdul Wahab pada ketika itu adalah Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Kolej Perubatan dan Kolej Raffles, Singapura dan sangat mengambil berat tentang jumlah pelajar-pelajar Melayu di pusat Pengajian Tinggi. Jadi, mereka selalu berbincang mengenai pergerakan pelajar dan akhirnya mereka melahirkan idea menubuhkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung. Antara mereka yang turut memberi sokongan kepada idea ini ialah Mohd. Nor Marahakim, Abdullah Majid dan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Bermula dengan persidangan yang membabitkan tujuh kesatuan pelajar di Jalan Tambun, Ipoh, satu konvensyen pelajar Melayu dari seluruh Semenanjung Tanah Melayu telah diadakan di Kuala Lumpur pada 14 dan 15 Ogos 1948. Di sinilah satu ketetapan dibuat untuk bersetuju menubuhkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung atau lebih dikenali dengan singkatan GPMS.

Penubuhan GPMS digerakkan oleh lima orang mahasiswa dari Kolej Raffles dan Kolej Perubatan King Edward di Singapura (kolej ini kemudiannya menjadi Universiti Malaya, Singapura selepas bergabung dengan Kolej Raffles). Mereka yang bertanggungjawab mengadakan konvensyen dan menubuhkan Jawatankuasa Sementara GPMS dibarisi oleh Aminuddin Baki (Presiden GPMS 1950-1951 dan 1952-1953), Datuk Paduka Prof. Abdul Wahab Mohamed Ariff (Presiden GPMS 1948-1949), Mohd. Nor Marahakim, Abdullah Majid dan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

GPMS adalah satu-satunya persatuan pelajar kebangsaan yang pertama ditubuhkan di negara ini hasil dari kesedaran akan pentingnya bidang akademik di kalangan anak-anak Melayu. GPMS memperkenalkan konsep kelas bimbingan sejak tahun 1950-an lagi. Kegiatan kelas bimbingan ini mendapat sambutan yang cukup baik daripada pelajar dan masyarakat pada masa itu. Mulai tahun 1960-an, pertubuhan belia negara ini mula menjadikan kelas bimbingan sebagai aktiviti persatuan.

Dalam tahun 1958, GPMS mula meneroka aktiviti-aktiviti baru dengan mengadakan kursus untuk pelajar. Dalam kursus ini, konsep perkhidmatan masyarakat mula diperkenalkan. Ahli-ahli GPMS khususnya dari Universiti Malaya bergerak mendampingi masyarakat dan meniupkan kesedaran ke dalam diri mereka akan peri pentingnya pelajaran sebagai kunci kemajuan bangsa. Sebagai susulan daripada kejayaan program itu, projek Gerakan Obor pula dipergiatkan. Pada tahun 1971, GPMS melancarkan Operasi Pembangunan Masyarakat di beberapa buah tempat di tanah air.

Sejak tahun 1970-an, GPMS berusaha membantu pelajar melalui program siri Ceramah Teknik Menjawab Soalan Peperiksaan SPM Dan STPM. Zaman terus berlalu, GPMS ikut merintis program-program baru seperti Ceramah Motivasi, Seminar Teknik Pembelajaran Secara Berkesan, Seminar Bimbingan Kerjaya, Peluang Melanjutkan Pelajaran, Kem Pendidikan dan Kem Kerjaya. Segala aktiviti yang menjurus kepada pendidikan mencerminkan perjuangan utama dan iltizam GPMS. GPMS sentiasa bekerjasama dengan badan dan organisasi lain yang berusaha meninggikan taraf pendidikan anak-anak bangsa Melayu.

Dalam usianya sudah mencecah 60 tahun, perjuangan GPMS berhasil memperkasakan perjuangan pelajar Melayu yang tidak pernah kunjung padam. GPMS yang mempunyai cawangan dan badan gabungan di seluruh semenanjung berusaha tanpa jemu untuk kecemerlangan pendidikan pelajar-pelajar Melayu demi maruah bangsa dan negara.

Berbekalkan moto ‘Belajar Terus Belajar’, GPMS terus memperjuangkan dan membela nasib pelajar-pelajar Melayu. Mudah-mudahan usaha murni ini demi memartabatkan agama Islam, bangsa Melayu dan bumi Malaysia yang tercinta ini akan mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah s.w.t.

No comments: