Friday, May 30, 2008

PINDA AUKU GALAK PELAJAR TERLIBAT AKTIVITI MEMBINA

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 mampu menggalakkan pembabitan pelajar dalam semua kegiatan yang membina dan konstruktif. Pindaan tersebut bagaimanapun masih diteliti oleh Peguam Negara dan akan diserahkan kepada Kabinet untuk diputuskan sebelum dibentang di Parlimen.

'Jika tidak ada apa-apa aral melintang, pindaan itu akan dibentangkan di Parlimen pada sesi depan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan.

Ditanya sama ada kegiatan membina yang dimaksudkan itu termasuk bidang politik, Najib berkata, semua pihak perlu menunggu sehingga akta tersebut disiapkan.

''Saya bukannya kata tak ada politik. Yang saya maksudkan ialah (penglibatan) konstruktif kerana politik dan politik berparti adalah dua perkara berbeza.

Menurutnya, kewujudan AUKU tidak pernah mengongkong pelajar dan ia telah dibuktikan oleh pelajar yang hadir pada hari ini. Kalau AUKU penghalangnya, tidak mungkin pemimpin pelajar yang saya lihat hari ini mampu menunjukkan kematangan dari segi pemikiran dan kelakuan mereka.

Menurutnya, keraguan terhadap dasar itu lebih banyak berpunca daripada sikap kurang faham dan tindakan pihak tertentu mempolitikkan beberapa peruntukan dalam akta itu.

Mengenai isu pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) sama ada ia berundur riba atau sebaliknya, Najib berkata, perkara tersebut akan diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Kita mahu menyelesaikan masalah ini (isu riba) secara muktamad.

Beliau menambah, Kementerian Pengajian Tinggi juga sedang menyemak kadar caj perkhidmatan PTPTN yang didakwa pelajar sebagai amat membebankan untuk pertimbangan kerajaan.

Najib berkata, kerajaan juga akan menimbangkan permintaan pelajar supaya 'kad diskaun pelajar kebangsaan' diwujudkan bagi membolehkan mereka mendapatkan potongan apabila membeli barangan atau mendapatkan perkhidmatan. Dalam pada itu, mesyuarat tahunan itu turut membincangkan soal perpaduan nasional dan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.

1 comment:

Unknown said...

Selama ini, ada AUKU pun ramai gak pelajar yang terbabit dengan kegiatan politik.

Oleh yang demikian, ada ke atau takde.... PELAJAR tetap berpolitik, tidak kira sokong kerajaan ataupun sokong pembangkang.