Sunday, May 25, 2008

AMINUDDIN BAKI- Pengasas GPMS


“Orang bertambah kaya, makmur hidupnya dan bertambah maju pelajarannya. Adakah kita akan terus menjadi pemerhati sahaja dan dengan demikian bertambah jauhlah tertinggal di belakang. Di zaman orang naik jet dan kapal angkasa, adakah kita akan terus berjalan kaki dan berkereta lembu? Relakah kita berdagang di tanah air sendiri?” (Aminuddin Baki, sebahagian petikan ucapan di Program Gerakan Obor pada 28 Januari 1964)


Aminuddin Baki adalah “Bapa Pendidikan Malaysia” dilahirkan pada 6 Januari 1926 di sebuah kampung dalam daerah kecil Chemor di Perak. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Chemor dari tahun 1932 hingga 1936. Selepas lulus peperiksaan darjah lima beliau meneruskan pelajarannya di Sekolah Anderson, Ipoh. Sekolah tersebut merupakan sekolah Inggeris terbaik dan mempunyai guru yang baik dan berpengalaman. Aminuddin belajar di sekolah tersebut dari tahun 1936 hingga 1941.

Sekitar tahun 1945 hingga 1946 beliau mula menunjukkan minat dengan persatuan pelajar. Beliau sangat kagum dengan Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu yang ditubuhkan pada 20 November 1945 di Victoria Institution, Kuala Lumpur. Pada ketika itu hanya mempunyai 11 orang ahli. Persatuan ini kemudiannya menjadi Kesatuan Kesuratan Penuntut-Penuntut Melayu yang ditubuhkan pada 11 Februari 1946. Kesatuan ini telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi menyatukan semua persatuan pelajar di negara ini dan Aminuddin telah dilantik sebagai setiausaha. Pada masa yang sama beliau telah menubuhkan Persatuan Pelajar di Perak yang dikenali sebagai Persatuan Pelajar-pelajar Melayu Insaf (PERMI) pada bulan April 1946. Namun begitu penglibatannya hanya sementara kerana pada bulan Oktober 1947 beliau diterima sebagai pelajar di Raffles College, sebuah kolej termasyhur.

Pada masa ini UMNO telah ditubuhkan bagi menentang penubuhan Malayan Union. Dalam masa yang sama pemimpin-pemimpin persatuan pelajar digalakkan berusaha ke arah pencapaian matlamat mereka. Oleh kerana itu, Aminuddin dan pemimpin pelajar lain mengambil keputusan untuk menubuhkan persatuan yang lebih kuat. Tujuh persatuan telah bersidang selama dua hari di Jalan Tambun, Ipoh. Hasil daripada persidangan itu terbentuklah Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada 15 Ogos 1948.

Walau bagaimanapun, pada tahun 1949 Aminuddin terpaksa berhenti bergiat aktif dalam persatuan pelajar kerana ditawarkan ke Universiti Malaya. Pada ketika itu beliau hanya mengikuti perkembangan persatuan dari jauh sahaja. Semasa di universiti beliau berminat mengajar dan untuk menimba pengalaman beliau telah mendaftar sebagai guru sambilan di Anglo-Malay Evening School. Beliau telah mengajar di sekolah itu dari tahun 1949 hingga 1951. Dalam tahun 1950, beliau bergiat aktif dalam GPMS dan dilantik sebagai Yang Dipertua persatuan. Dalam tahun yang sama beliau telah lulus peperiksaan Sarjana Sastera dan pada tahun berikutnya, lulus Ijazah Kepujian Sarjana Sastera.

Selepas menamatkan pelajarannya, beliau kembali ke Perak dan menjadi guru di Sekolah Inggeris Sultan Yusuf di Batu Gajah. Pada tahun 1951 hingga Julai, 1952, beliau telah berkhidmat di Sekolah Anderson. Beliau telah melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan di Institut Pendidikan, Universiti London dengan Biasiswa Queen. Beliau meninggalkan Pulau Pinang dengan menaiki kapal SS Canton pada 12 Julai 1952. Aminuddin menamatkan pengajiannya pada bulan Julai 1953 dengan mendapat Ijazah Master of Methods dalam bidang pendidikan.

Selepas pulang ke tanahair beliau ditawarkan jawatan Pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim. Sumbangan besarnya kepada pelajar dengan memperkenalkan Sejarah Islam tetapi tidak termasuk dalam sukatan pelajaran. Pada bulan September 1955, Aminuddin terlibat dalam menyediakan Laporan Pendidikan Razak dan pada tahun 1960 pula beliau dipilih sebagai ahli jawatankuasa penasihat dalam menyiapkan Laporan Rahman.

Pada usia 36 tahun beliau telah dilantik menjadi Ketua Pegawai Pendidikan Selangor. Pada masa yang sama beliau aktif dalam persatuan dan pertubuhan lain seperti Senat Universiti Malaya, Persatuan Al-Rahman, Persatuan Sejarah Tanah Melayu dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Dengan usaha beliau juga peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) diwujudkan. Beliau telah menubuhkan Lembaga Peperiksaan pada tahun 1963. Aminuddin Baki meninggal dunia pada 24 Disember 1965 kerana diserang penyakit jantung selepas menunaikan sembahyang. Pada ketika itu memegang jawatan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia.

No comments: