Monday, July 21, 2008

Tukar separuh pinjaman PTPTN pada biasiswa

KUALA LUMPUR - Seorang senator menyarankan supaya 50 peratus daripada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ditukar kepada biasiswa, manakala caj perkhidmatan bayaran balik pinjaman dihapuskan.

Senator Datuk Roslan Awang Chik berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan bebanan bayaran balik pinjaman yang terpaksa ditanggung pelajar dan bagi melahirkan modal insan bermutu untuk pembangunan negara pada masa akan datang.

Katanya, isu pelajar terbeban dengan bayaran balik pinjaman dan caj perkhidmatan yang tinggi adalah antara faktor yang menyebabkan tercetusnya tsunami politik pada pilihan raya umum ke-12, Mac lalu.

"Bagi mengelak tsunami itu berulang, kerajaan perlu mengkaji mekanisme yang sesuai untuk memastikan pembangunan modal insan dapat dilaksanakan dengan terancang. Dahulu, kerajaan memberikan biasiswa kepada pelajar dan apabila tamat pengajian, pelajar dijamin dengan pekerjaan yang sesuai berdasarkan kelayakan akademik.

"Tetapi kini, bukan hanya tidak dijamin pekerjaan apabila keluar daripada institusi pengajian tinggi, malah fikiran pelajar sudah tersemat satu perkataan iaitu 'berhutang' kerana apabila mereka menamatkan pengajian, hutang antara RM50,000 hingga RM60,000 tidak termasuk caj perkhidmatan menunggu mereka,'' katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara, di sini semalam. - Bernama

Saturday, July 19, 2008

Beri Melayu Peluang Bermutu

KUALA LUMPUR 18 Julai - Pengagihan peluang-peluang yang bermutu, adil dan saksama perlu ditumpukan di kawasan luar bandar bagi melahirkan lebih banyak golongan profesional dan peniaga Melayu yang berjaya dalam perniagaan, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, langkah tersebut perlu kerana kebanyakan orang Melayu di negara ini masih tinggal di kawasan luar bandar yang kemajuannya tidak sepesat di bandar.''Berilah peniaga Melayu peluang yang bermutu jika kita mahu mereka berjaya dan maju," katanya ketika merasmikan Konvensyen Ekonomi Bumiputera 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Abdullah berkata, berbanding di luar bandar, sebenarnya peluang untuk maju di bandar dalam bidang perniagaan, perdagangan dan pendidikan adalah lebih cerah. Bagaimanapun kata beliau, keadaan tersebut menguntungkan majoriti penduduknya yang terdiri daripada bukan Melayu.

Abdullah menjelaskan, secara tradisi banyak daripada aktiviti di kawasan luar bandar adalah berkaitan sektor pertanian manakala di kawasan bandar pula ia lebih pesat membangun menerusi pelbagai aktiviti berkaitan dengan perkhidmatan. ''Jadi pengagihan tidak hanya dari segi wang atau pendapatan, orang Melayu juga mesti mendapat pengagihan peluang-peluang yang bermutu," katanya.
Perdana Menteri berkata, berikutan banyaknya peluang bermutu di bandar, kebanyakan orang Melayu yang berjaya adalah di kawasan bandar walaupun majoriti orang Melayu lain tinggal di kawasan luar bandar.
Abdullah berkata, berikutan keadaan itu, timbul rasa tidak puas hati di kalangan orang Melayu kerana ia menghalang mereka mencapai matlamat 30 peratus yang digariskan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dalam konteks ini, beliau berkata, orang Melayu perlu membina keupayaan dan kebolehan serta mesti memiliki ilmu-ilmu baru bagi memajukan diri. ''Kalau nak membina kapasiti, mesti wujud peluang bermutu yang lebih banyak di kawasan luar bandar," katanya.
Abdullah berkata, pelbagai industri boleh dimulakan di kawasan luar bandar tetapi penyertaan dan keupayaan orang- orang Melayu adalah penting dalam hal ini. Menurutnya, amalan tambah nilai kepada diri sendiri seperti dari segi kemahiran dan pengetahuan juga perlu menjadi budaya bangsa. ''Wajah-wajah yang maju, yang berjaya perlu diramaikan," katanya
Utusan Malaysia, 19 Julai 2008

Thursday, July 17, 2008

Hikayat Sebuah Pulau Impian “Cintalusia”

Arakian tersebutlah kisah di dalam sebuah kitab klasik lama yang masyhur terkenal seantero alam dengan judul agungnya “K.O.P GMPS UNISEL SHAH ALAM”. Di dalamnya ada menyebut tentang hikayat sebuah pulau impian yang aman makmur bernama “Cintalusia”. Awalnya pembinaan negara ini seakan tidak punya celanya masalah. Dengan ditadbir oleh memanda menterinya Zulhusni, timbalannya Syafiq serta barisan menteri-menteri kabinetnya yang terdiri daripada:

1. Nik Fathurrahman

2. Radhi

3. Syed Hisyamuddin

4. Shariff

5. Fahim

6. Anis

7. Misa

8. Anis Salha

9. Farah

10. Nini

11. Wani

12. Hani

13. Awin


Dilihat mampu menzahirkan dan melahirkan sebuah negara yang gemilang dan terbilang.

Negara yang dihuni hampir 1 juta rakyat hidup secara aman dan makmur. Keikhlasan para pemimpinnya dijelmakan dalam bentuk perancangan yang rapi serta pembangunan yang mapan. Terbahagi kepada 4 bahagian utama iaitu


A) Putralusia
Mengambil ilham daripada pusat pentadbiran Malaysia yang terancang dan strategik. Perkataan Putra di gabung bersama Cintalusia

B) Edulusia
Demi memenuhi kepentingan ilmu maka terbinalah edulusia. Dalam impian melahirkan para ilmuan yang mahir dari segala aspek.

C) Megalusia
Merupakan pusat pembangunan ekonomi utama di Cintalusia. Menjadi nadi kegiatan ekonomi import dan eksport

D)Spalusia
Mengambil asas spa iaitu menenangkan, maka pusat industri pelancongan ditubuhkan bagi menarik para pelancong mengunjungi Cintalusia, memberi ketenangan dan sekaligus menjana pertumbuhan ekonomi negara.


Namun hasrat melihat ia terus mekar maju dan menyubur membangun hanya tinggal mimpi. Segala yang telah dirancang punah dek kerakusan anasir luar yang sentiasa dahagakan hasil buminya. Dengan campur tangan kuasa asing yang hanya dikenali sebagai “Angah & Konco-konconya” terus mengasak bertali arus dengan serangan yang kadang kala membunuh idea yang tidak berdosa. Oleh kerana tidak mahu lebih banyak idea kecil yang tidak mengerti apa-apa terus dicabuli maka para pemimpin Cintalusia bersepakat menyerahkan Pulau Impian ini dan sekaligus menamatkan pertempuran perjuangan memartabatkan maruah sebuah negara. Kini sejarah CINTALUSIA terus terpahat di dalam lipatan sejarah GPMS UNISEL SHAH ALAM dan mitos kewujudannya tidak lagi kedengaran.

Peta asal CINTALUSIA

(sumber: Hikayat Pulau Impian- K.O.P GMPS UNISEL SHAH ALAM)

p/s: terima kasih kepada Angah and Team atas keSEDARan ini. “Ketewasan” ini InsyaAllah akan kami jadikan panduan dalam menempuh cabaran mendatang.


Harga Sebuah Ilmu



Kinabatangan:-Empat beradik di Kampung Ulu Pinangah, Kuamut dekat sini terpaksa bertarung nyawa setiap kali mendayung perahu di Sungai Kinabatangan untuk berulang alik ke sekolah. Walaupun terpaksa menempuh bahaya menghulu dan menghilir sungai itu,mereka tetap tabah semata-mata memastikan tidak ketinggalan menimba ilmu di SK Pinangah di Kampung Pinangah.

Dengan mengerah kudrat, Rosmery Saimon, 12 dan tiga adiknya, Madzlan 10, Adzlan 9 dan Malisa 7, menghilir Sungai Kinabatangan sejauh kira-kira 1.5 kilometer dari kampong itu ke sekolah. Mereka terpaksa mendayung perahu kecil sepanjang 4.5 meter yang diperbuat daripada pokok kayu bulat.

Berikutan ketiadaan jalan, Rosmery dan adik-adiknya tiada pilihan lain selain terpaksa memperjudikan nyawa mendayung perahu di sungai selebar kira-kira 500 meter itu. Rosmery berkata, beliau dan adiknya terpaksa mendayung perahu kerana ibu bapa mereka perlu bekerja di kebun yang agak jauh dari rumah mereka dengan mendayung perahu lain.

“Kalau musim hujan, bapa akan menghantar kami kerana kami tidak berdaya melawan arus deras”, katanya kepada Berita Harian ketika ditemui di Kampung Pinangah, semalam.

Selain mereka, 361 murid di sekolah itu terpaksa menempuh kesukaran untuk berulang alik ke sekolah. Ada antara mereka terpaksa berjalan sejauh satu hingga empat kilometer dengan melalui jalan tidak berturap untuk berulang alik dari rumah masing-masing ke sekolah.

Kampung Pinangah, di dalam kawasan DUN Kuamat dan Parlimen Kinabatangan, terletak di tengah-tengah Sabah yang hanya boleh dikunjungi melalui jalan tidak berturap sejauh 70 kilometer selama kira-kira 4 jam dari pekan Telupid, dekat Sandakan.

Berita Harian, Isnin 14 Julai 2008



Monday, July 14, 2008

Unisel penuhi permintaan industri

LULUSAN BERKUALITI: Unisel menyediakan peluang pelajaran yang berdaya saing dan memenuhi keperluan industri


Tawar 3,200 tempat kepada lepasan SPM, STPM lanjut pelajaran peringkat tinggi

UNIVERSITI Industri Selangor (Unisel), menawarkan 3,200 tempat kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk menyambung pengajian pada peringkat lebih tinggi dalam 72 kursus yang ditawarkan bagi pengambilan Julai ini.

Dengan 10 fakulti yang menawarkan pelbagai kursus, semuanya mendapat kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), menjadikan Unisel yang ditubuhkan sembilan tahun lalu sebuah institusi pengajian tinggi swasta setanding universiti awam.

Pemangku Naib Canselor Unisel, Prof Dr Khalifah Othman, berkata penubuhan Unisel bagi memenuhi permintaan industri yang memerlukan lebih banyak tenaga kerja dan kepakaran dalam pelbagai bidang kejuruteraan, perniagaan, bioteknologi dan sebagainya.

“Kita sentiasa berdamping rapat dengan pihak industri, sehubungan itu, kurikulum yang ditawarkan berdasarkan keperluan industri,” katanya yang ditemui di kampus Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Dr Khalifah berkata, keistimewaan Unisel ialah menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar yang menjadikan pelajar universiti itu fasih berkomunikasi sekali gus menjadi bekalan ketika menceburi bidang pekerjaan.

“Selain menimba ilmu dalam bidang diceburi, kemahiran tambahan seperti fasih dalam berbahasa Inggeris memudahkan pelajar kami mendapat pekerjaan sebaik menamatkan pengajian.

“Malah, 80 peratus pelajar yang sudah tamat pengajian mendapat pekerjaan dalam tempoh lapan bulan selepas lulus, manakala selebihnya melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Ketika ini, seramai 4,325 pelajar sudah menamatkan pengajian di universiti ini,” katanya.

Unisel adalah antara empat universiti di Malaysia yang menjalankan program Japanese Association Degree (JAD) dengan kerjasama 15 universiti di Jepun, Yayasan Pelajaran Mara dan universiti itu sendiri.

Pada Mac lalu, Unisel menghantar 75 pelajarnya mengikuti program Sarjana Muda Kejuruteraan Teknikal Jepun menerusi program JAD dan kumpulan kedua pula pada 2009 seramai 86 pelajar lagi akan ke Jepun.
“Kursus di Unisel dijalankan dalam bahasa Jepun oleh tenaga pengajar tempatan dan dari negara itu,” katanya.

Selain itu, Unisel Graduate School of Management (UGSM) turut menawarkan empat program baru pengkhususan dalam program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) bagi pengambilan Julai ini dalam usaha memenuhi kehendak pasaran kerja yang memerlukan tenaga kerja berilmu serta berpengetahuan luas.

Program itu ialah MBA dengan pengkhususan dalam pengurusan projek, kerajaan tempatan, kemudahan serta keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSHA). Selain itu, tiga lagi program MBA pengkhususan dalam Pengurusan Logistik, Pengurusan Perkapalan dan Pengurusan Am, turut ditawarkan.

Lebih menarik, katanya, hanya UGSM institusi pengajian tinggi di negara ini menawarkan pengkhususan dalam pengurusan perkapalan, logistik dan kerajaan tempatan.

Dengan dua kampus yang dilengkapi pelbagai kemudahan dan prasarana iaitu di Bestari Jaya, Batang Berjuntai dan Seksyen 7, Shah Alam, yang masing-masing berkeluasan 240 hektar dan empat hektar, pelajar dapat menimba ilmu dengan lebih tenang tanpa gangguan berikutan kedudukan kampus di kelilingi pemandangan yang menarik dan alam semula jadi.

Bagi meringankan beban kewangan pelajar, beberapa agensi termasuk Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Mara, agensi negeri, Pusat Zakat dan institusi kewangan turut menyediakan pinjaman untuk pelajar.

INFO:

10 fakulti di Unisel
• Kejuruteraan
• Pengurusan Industri
• Industri Teknologi Maklumat
• Pendidikan
• Pengajian Bahasa
• Sains Gunaan dan Matematik
• Bioteknologi dan Sains Hayat
• Bio Perubatan dan Sains Kesihatan
• Teknologi Seni Lukis
• Seni Reka Industri


Maklumat am
• Pengambilan baru 26 dan 27 Julai ini di kampus Bestari Jaya, manakala pada 27 Julai bagi kampus Shah Alam. Waktu pendaftaran mulai jam 9 pagi hingga 5 petang.
• Maklumat lanjut boleh hubungi talian 03-55223400 atau layari laman web di alamat www.unisel.edu.my.

Sunday, July 6, 2008

RAKAN MUDA DIPERLUAS KE SEKOLAH: Langkah bersepadu bendung masalah sosial pelajar sekolah

Biro Anti Dadah dan Gejala Sosial, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (BADGS-GPMS) menyambut baik langkah Kementerian Belia dan Sukan untuk memperkenalkan program Rakan Muda pada peringkat sekolah sebagai satu cabang baru dalam kokurikulum untuk membolehkan program itu lebih dekat dengan pelajar sekolah.

Sehubungan dengan itu, BADGS-GPMS berharap agar tindakan dan langkah segera diambil oleh Kementerian Belia dan Sukan bersama Kementerian Pelajaran supaya pelaksanaannya lebih tersusun.

Pengerusi BADGS-GPMS, Mohd Faizal Mohd Salleh berkata, langkah tersebut ibarat `melentur buluh bermula dari rebungnya', di mana segala usaha untuk melahirkan generasi muda yang gemilang, generasi muda yang bebas dari gejala sosial bermula dari peringkat sekolah lagi, kerana di peringkat inilah golongan muda mudah terdedah dengan gejala tidak sihat, umpamanya rokok, dadah dan gejala sosial yang lain.

Jika golongan ini tidak mula didekati bermula di peringkat sekolah, kita yakin pelajar-pelajar yang mempunyai pendidikan sempurna akan berjaya dengan cemerlang dalam pendidikan mereka, namun mereka yang kurang cemerlang dalam pendidikan mereka, akan mudah terpengaruh dengan pengaruh rakan sebaya.

BADGS-GPMS memandang serius isu disiplin dan masalah sosial dikalangan pelajar-pelajar di sekolah-sekolah pada hari ini. Isu ini telah dibangkitkan berulang-ulang kali oleh pelbagai pihak namun ianya masih tidak dapat diselesaikan. Sehubungan dengan itu, semua pihak termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk bersama-sama berganding bahu memerangi isu masalah disiplin dan sosial di kalangan pelajar sekolah.

Masalah disiplin dikalangan pelajar ini perlu dilihat dalam skop yang lebih besar jika ianya ingin diselesaikan. Beberapa elemen penting yang menjadi para pelajar tidak berdisiplin perlulah dikaji. Latarbelakang keluarga, suasana sekolah dan keadaan persekitaran mempengaruhi tindakan para pelajar untuk melanggar peraturan yang ditetapkan. BADGS-GPMS berpendapat peranan semua pihak diperlukan dalam memastikan permasalahan ini dapat dibendung.

Oleh itu, pendekatan Kementerian Belia dan Sukan untuk memperluaskan program Rakan Muda ke sekolah merupakan satu langkah terbaik untuk pelajar mendekatkan diri dengan aktiviti-aktiviti berfaedah. GPMS menyarankan akar Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pelajaran memperbanyakkan aktiviti yang boleh menarik minat golongan belia menceburinya.

Golongan belia khususnya pelajar sekolah perlu diberi suntikan baru dengan ‘disogok’kan program-program baru dan segar. Dalam masa yang sama, kementerian juga harus mencari alternatif yang boleh meransang minat belia menyertai aktiviti-aktiviti yang digemari mereka. Penerapan semangat "Yakin Boleh" dikalangan anak muda adalah amat penting bagi membentuk generasi pelapis yang mempunyai daya tahan yang tinggi dan daya juang yang kental.

Suntikan semangat kembara dan meneroka sesuatu yang baru amat penting bagi membentuk ketahanan mental dan fizikal yang kental bagi membolehkan mereka menghadapi cabaran environment pada masa hadapan. Semangat untuk menjadi perintis dalam sesuatu penerokaan baik di laut, gunung-ganang, hutan rimba, gua atau udara amat penting bagi membuktikan kepada masyarakat luar bahawa orang-orang Melayu khususnya generasi muda juga mempunyai keupayaan tinggi dalam pelbagai bidang.

Kita harus sedar, generasi muda merupakan golongan majoriti penduduk negara. Dijangkakan pada tahun 2020, penduduk yang berumur 15-39 tahun akan meningkat kepada 9.2 juta orang. Golongan ini mempunyai keupayaaan yang tinggi dari segi mental mahupun fizikal. Oleh itu, satu pembangunan yang sihat perlu diberikan supaya mereka menjadi manusia yang berilmu, beragama, bermoral tinggi, produktif, cergas, sihat dan bertanggungjawab.

Dalam konteks menuju perubahan inilah maruah dan martabat bangsa hendaklah dibangunkan secara gigih clan diperjuangkan secara global kerana kekuatan maruah dan martabat bangsa secara menyeluruh akan membawa impak kearah pembentukan bangsa dan tamadun yang lebih gemilang. Seluruh persiapan zahir dan batin perlu disediakan untuk generasi muda bagi membolehkan mereka menghadapi cabaran environment masa depan.

Oleh itu, anak muda hari ini perlu dibekalkan dengan ketinggian intelek, kepelbagaian kemahiran, bermaklumat intensif, kreatif seiring dengan kemantapan etika, moral dan penghayatan nilai¬-nilai mumi. Dengan memiliki ciri-ciri tersebut akan dapat melahirkan satu tenaga kepimpinan berkualiti, berkemahiran tinggi dan mantap bagi menjamin keamanan, kemakmuran dan kemajuan negara