Monday, July 14, 2008

Unisel penuhi permintaan industri

LULUSAN BERKUALITI: Unisel menyediakan peluang pelajaran yang berdaya saing dan memenuhi keperluan industri


Tawar 3,200 tempat kepada lepasan SPM, STPM lanjut pelajaran peringkat tinggi

UNIVERSITI Industri Selangor (Unisel), menawarkan 3,200 tempat kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk menyambung pengajian pada peringkat lebih tinggi dalam 72 kursus yang ditawarkan bagi pengambilan Julai ini.

Dengan 10 fakulti yang menawarkan pelbagai kursus, semuanya mendapat kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), menjadikan Unisel yang ditubuhkan sembilan tahun lalu sebuah institusi pengajian tinggi swasta setanding universiti awam.

Pemangku Naib Canselor Unisel, Prof Dr Khalifah Othman, berkata penubuhan Unisel bagi memenuhi permintaan industri yang memerlukan lebih banyak tenaga kerja dan kepakaran dalam pelbagai bidang kejuruteraan, perniagaan, bioteknologi dan sebagainya.

“Kita sentiasa berdamping rapat dengan pihak industri, sehubungan itu, kurikulum yang ditawarkan berdasarkan keperluan industri,” katanya yang ditemui di kampus Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Dr Khalifah berkata, keistimewaan Unisel ialah menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar yang menjadikan pelajar universiti itu fasih berkomunikasi sekali gus menjadi bekalan ketika menceburi bidang pekerjaan.

“Selain menimba ilmu dalam bidang diceburi, kemahiran tambahan seperti fasih dalam berbahasa Inggeris memudahkan pelajar kami mendapat pekerjaan sebaik menamatkan pengajian.

“Malah, 80 peratus pelajar yang sudah tamat pengajian mendapat pekerjaan dalam tempoh lapan bulan selepas lulus, manakala selebihnya melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Ketika ini, seramai 4,325 pelajar sudah menamatkan pengajian di universiti ini,” katanya.

Unisel adalah antara empat universiti di Malaysia yang menjalankan program Japanese Association Degree (JAD) dengan kerjasama 15 universiti di Jepun, Yayasan Pelajaran Mara dan universiti itu sendiri.

Pada Mac lalu, Unisel menghantar 75 pelajarnya mengikuti program Sarjana Muda Kejuruteraan Teknikal Jepun menerusi program JAD dan kumpulan kedua pula pada 2009 seramai 86 pelajar lagi akan ke Jepun.
“Kursus di Unisel dijalankan dalam bahasa Jepun oleh tenaga pengajar tempatan dan dari negara itu,” katanya.

Selain itu, Unisel Graduate School of Management (UGSM) turut menawarkan empat program baru pengkhususan dalam program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) bagi pengambilan Julai ini dalam usaha memenuhi kehendak pasaran kerja yang memerlukan tenaga kerja berilmu serta berpengetahuan luas.

Program itu ialah MBA dengan pengkhususan dalam pengurusan projek, kerajaan tempatan, kemudahan serta keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSHA). Selain itu, tiga lagi program MBA pengkhususan dalam Pengurusan Logistik, Pengurusan Perkapalan dan Pengurusan Am, turut ditawarkan.

Lebih menarik, katanya, hanya UGSM institusi pengajian tinggi di negara ini menawarkan pengkhususan dalam pengurusan perkapalan, logistik dan kerajaan tempatan.

Dengan dua kampus yang dilengkapi pelbagai kemudahan dan prasarana iaitu di Bestari Jaya, Batang Berjuntai dan Seksyen 7, Shah Alam, yang masing-masing berkeluasan 240 hektar dan empat hektar, pelajar dapat menimba ilmu dengan lebih tenang tanpa gangguan berikutan kedudukan kampus di kelilingi pemandangan yang menarik dan alam semula jadi.

Bagi meringankan beban kewangan pelajar, beberapa agensi termasuk Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Mara, agensi negeri, Pusat Zakat dan institusi kewangan turut menyediakan pinjaman untuk pelajar.

INFO:

10 fakulti di Unisel
• Kejuruteraan
• Pengurusan Industri
• Industri Teknologi Maklumat
• Pendidikan
• Pengajian Bahasa
• Sains Gunaan dan Matematik
• Bioteknologi dan Sains Hayat
• Bio Perubatan dan Sains Kesihatan
• Teknologi Seni Lukis
• Seni Reka Industri


Maklumat am
• Pengambilan baru 26 dan 27 Julai ini di kampus Bestari Jaya, manakala pada 27 Julai bagi kampus Shah Alam. Waktu pendaftaran mulai jam 9 pagi hingga 5 petang.
• Maklumat lanjut boleh hubungi talian 03-55223400 atau layari laman web di alamat www.unisel.edu.my.

1 comment:

xeraxiah said...

ini bermkna.. mara support unisel la kan..? leh apply loan mara arr..?