Monday, July 21, 2008

Tukar separuh pinjaman PTPTN pada biasiswa

KUALA LUMPUR - Seorang senator menyarankan supaya 50 peratus daripada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ditukar kepada biasiswa, manakala caj perkhidmatan bayaran balik pinjaman dihapuskan.

Senator Datuk Roslan Awang Chik berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan bebanan bayaran balik pinjaman yang terpaksa ditanggung pelajar dan bagi melahirkan modal insan bermutu untuk pembangunan negara pada masa akan datang.

Katanya, isu pelajar terbeban dengan bayaran balik pinjaman dan caj perkhidmatan yang tinggi adalah antara faktor yang menyebabkan tercetusnya tsunami politik pada pilihan raya umum ke-12, Mac lalu.

"Bagi mengelak tsunami itu berulang, kerajaan perlu mengkaji mekanisme yang sesuai untuk memastikan pembangunan modal insan dapat dilaksanakan dengan terancang. Dahulu, kerajaan memberikan biasiswa kepada pelajar dan apabila tamat pengajian, pelajar dijamin dengan pekerjaan yang sesuai berdasarkan kelayakan akademik.

"Tetapi kini, bukan hanya tidak dijamin pekerjaan apabila keluar daripada institusi pengajian tinggi, malah fikiran pelajar sudah tersemat satu perkataan iaitu 'berhutang' kerana apabila mereka menamatkan pengajian, hutang antara RM50,000 hingga RM60,000 tidak termasuk caj perkhidmatan menunggu mereka,'' katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara, di sini semalam. - Bernama

1 comment:

Senduk patah said...

Cadangan senator amat disokong saya..anda bayangkan jika anda membuat loan PTPTN sebanyak RM 50'000.00 untuk 3tahun pngajian...bile agak nyer dpt dbayar kalu bayarRM100-300 sebulan??? 10thun??20thun?? blum dicampur caj n dll. Xpun wat la sape dpt CGPA3.0 keatas ke dpt biasiswa secara x langsung dpt mendorong pelajar untuk cemerlang didlm peperiksaan dsamping memotivasikn ia, bkn la nk myimpangkan niat pelajar untuk blajar hanya utuk dptkan biasiswa tp itu lah hakikat nya dunia sekarang..

'Dunia dh Maju zaman dh berubah'