Thursday, July 17, 2008

Harga Sebuah Ilmu



Kinabatangan:-Empat beradik di Kampung Ulu Pinangah, Kuamut dekat sini terpaksa bertarung nyawa setiap kali mendayung perahu di Sungai Kinabatangan untuk berulang alik ke sekolah. Walaupun terpaksa menempuh bahaya menghulu dan menghilir sungai itu,mereka tetap tabah semata-mata memastikan tidak ketinggalan menimba ilmu di SK Pinangah di Kampung Pinangah.

Dengan mengerah kudrat, Rosmery Saimon, 12 dan tiga adiknya, Madzlan 10, Adzlan 9 dan Malisa 7, menghilir Sungai Kinabatangan sejauh kira-kira 1.5 kilometer dari kampong itu ke sekolah. Mereka terpaksa mendayung perahu kecil sepanjang 4.5 meter yang diperbuat daripada pokok kayu bulat.

Berikutan ketiadaan jalan, Rosmery dan adik-adiknya tiada pilihan lain selain terpaksa memperjudikan nyawa mendayung perahu di sungai selebar kira-kira 500 meter itu. Rosmery berkata, beliau dan adiknya terpaksa mendayung perahu kerana ibu bapa mereka perlu bekerja di kebun yang agak jauh dari rumah mereka dengan mendayung perahu lain.

“Kalau musim hujan, bapa akan menghantar kami kerana kami tidak berdaya melawan arus deras”, katanya kepada Berita Harian ketika ditemui di Kampung Pinangah, semalam.

Selain mereka, 361 murid di sekolah itu terpaksa menempuh kesukaran untuk berulang alik ke sekolah. Ada antara mereka terpaksa berjalan sejauh satu hingga empat kilometer dengan melalui jalan tidak berturap untuk berulang alik dari rumah masing-masing ke sekolah.

Kampung Pinangah, di dalam kawasan DUN Kuamat dan Parlimen Kinabatangan, terletak di tengah-tengah Sabah yang hanya boleh dikunjungi melalui jalan tidak berturap sejauh 70 kilometer selama kira-kira 4 jam dari pekan Telupid, dekat Sandakan.

Berita Harian, Isnin 14 Julai 2008



No comments: