Saturday, July 19, 2008

Beri Melayu Peluang Bermutu

KUALA LUMPUR 18 Julai - Pengagihan peluang-peluang yang bermutu, adil dan saksama perlu ditumpukan di kawasan luar bandar bagi melahirkan lebih banyak golongan profesional dan peniaga Melayu yang berjaya dalam perniagaan, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, langkah tersebut perlu kerana kebanyakan orang Melayu di negara ini masih tinggal di kawasan luar bandar yang kemajuannya tidak sepesat di bandar.''Berilah peniaga Melayu peluang yang bermutu jika kita mahu mereka berjaya dan maju," katanya ketika merasmikan Konvensyen Ekonomi Bumiputera 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Abdullah berkata, berbanding di luar bandar, sebenarnya peluang untuk maju di bandar dalam bidang perniagaan, perdagangan dan pendidikan adalah lebih cerah. Bagaimanapun kata beliau, keadaan tersebut menguntungkan majoriti penduduknya yang terdiri daripada bukan Melayu.

Abdullah menjelaskan, secara tradisi banyak daripada aktiviti di kawasan luar bandar adalah berkaitan sektor pertanian manakala di kawasan bandar pula ia lebih pesat membangun menerusi pelbagai aktiviti berkaitan dengan perkhidmatan. ''Jadi pengagihan tidak hanya dari segi wang atau pendapatan, orang Melayu juga mesti mendapat pengagihan peluang-peluang yang bermutu," katanya.
Perdana Menteri berkata, berikutan banyaknya peluang bermutu di bandar, kebanyakan orang Melayu yang berjaya adalah di kawasan bandar walaupun majoriti orang Melayu lain tinggal di kawasan luar bandar.
Abdullah berkata, berikutan keadaan itu, timbul rasa tidak puas hati di kalangan orang Melayu kerana ia menghalang mereka mencapai matlamat 30 peratus yang digariskan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dalam konteks ini, beliau berkata, orang Melayu perlu membina keupayaan dan kebolehan serta mesti memiliki ilmu-ilmu baru bagi memajukan diri. ''Kalau nak membina kapasiti, mesti wujud peluang bermutu yang lebih banyak di kawasan luar bandar," katanya.
Abdullah berkata, pelbagai industri boleh dimulakan di kawasan luar bandar tetapi penyertaan dan keupayaan orang- orang Melayu adalah penting dalam hal ini. Menurutnya, amalan tambah nilai kepada diri sendiri seperti dari segi kemahiran dan pengetahuan juga perlu menjadi budaya bangsa. ''Wajah-wajah yang maju, yang berjaya perlu diramaikan," katanya
Utusan Malaysia, 19 Julai 2008

No comments: