Friday, October 17, 2008

Ujian Sejarah dalam UPSR 2013

KUALA LUMPUR: Mata pelajaran Sejarah akan dimasukkan dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2013 apabila subjek itu diajar secara khusus kepada murid Tahun 3 pada 2010.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, berkata perkara itu sedang dikaji dalam Transformasi Kurikulum Sekolah Rendah, yang dijangka beroperasi dua tahun lagi.

"Kita ambil kira saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahukan subjek Sejarah diwajibkan pada peringkat sekolah rendah. Kita bercadang menjadikan mata pelajaran ini diajar secara khusus bermula Tahun 3 sehingga Tingkatan 5.

"Sukatan pelajarannya akan ditentukan selepas perbincangan mendalam dilaksanakan membabitkan semua pihak dan mereka yang berminat," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Beliau berkata, unsur sejarah pula akan diterapkan melalui Bidang Kemanusiaan dan Bidang Bahasa bagi murid Tahun 1 dan 2.

Razali berkata, ketika ini, kandungan Sejarah pada peringkat sekolah rendah terkandung dalam mata pelajaran Kajian Tempatan.

"Unsur Sejarah diberikan pendedahan kepada murid sekolah bertujuan melahirkan murid yang berpengetahuan mengenai hubungan mereka dengan masyarakat, memahami dan menghargai sejarah negara.

"Kandungan yang berkaitan dengan komponen Sejarah ialah menekankan mengenai tema berkaitan Mengenal Negara Kita dan Sejarahnya serta Ekonomi dan Kejayaan Negara," katanya.

BH-17/10/2008


GPMS Unisel Shah Alam menyokong sepenuhnya hasrat ini dalam memastikan generasi akan datang dibekalkan dengan pengetahuan tentang fakta sejarah yang sebenar. Dalam keadaan intergriti antara kaum semakin lemah, seharusnya setiap lapisan masyarakat perlu kembali kepada asas sejarah dalam mengelakkan perselisihan faham yang akhirnya membawa kepada kemusnahan negara.

No comments: