Thursday, October 23, 2008

GPMS SOKONG KONTRAK SOSIAL JADI MODUL PEMBELAJARAN

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) ingin menyatakan sokongan penuh dan bersetuju dengan cadangan agar perkara Kontrak Sosial dijadikan sebagai sebahagian daripada modul pembelajaran di institusi pendidikan. Titah Duli Sultan Perak berkenaan perkara disebut wajar diangkat sebagai sebuah cadangan yang wajar dilaksanakan segera.

Presiden GPMS, Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, GPMS ingin menyatakan pendirian bahawa 'apresiasi dan gerak rasa sejarah' (sense of history) ini adalah amat penting bagi sebuah bangsa yang berjaya. Sejarah tidak boleh dirubah-rubah mengikut kehendak dan kemahuan sendiri. Lebih malang lagi - sekiranya fakta sejarah diangkat secara songsang untuk mencapai maksud yang sempit dan kecil. Apa yang berlaku kebelakangan ini, wajar memberikan kita iktibar bahawa wujud segelintir individu yang sanggup 'menyongsangkan' sejarah untuk mencapai kepentingan peribadi yang cukup dangkal.

Saranan Duli Tuanku, wajar dilihat secara bersama dengan beberapa cadangan lain yang dikemukakan mutakhir ini - termasuk langkah mengadakan subjek Sejarah di peringkat yang paling asas. GPMS sememangnya bersetuju dan mengharapkan agar usaha dilaksanakan segera untuk memastikan modul pembelajaran sejarah dapat direalisasikan segera di peringkat yang awal. Ianya juga bersesuaian dengan ingatan tegas Majlis Raja-Raja tentang keperluan isu 'kontrak sosial' ini diterima dan dihargai oleh semua pihak.

GPMS cukup yakin - usaha pemantapan modul sejarah dan apresiasinya yang holistik akan mampu melahirkan generasi muda yang lebih bertanggungjawab dan 'sedar' dengan realiti yang ada. Kita tidak mahu melahirkan kalangan generasi muda yang tidak mempunyai langsung asas apresiasi kepada sejarah Bangsa.

Tamadun dan bangsa hebat dunia; adalah kalangan tamadun dan bangsa yang tidak pernah terkeliru dan dikelirukan oleh 'sejarah'. Fakta dan asas sejarah tidak boleh dijadikan isu yang boleh dirubah-rubah mengikut suasana politik dan sebagainya. Bangsa Malaysia perlu cepat belajar untuk menerima hakikat sejarah dan tidak cuba untuk menghuraikannya tanpa ada rasa kebertanggungjawaban.

Pelaksanaan segera kepada penyediaan modul sejarah ini akan memberikan impak yang baik. Kita tidak mahu wujud aliran apresiasi sejarah yang berbeza-beza hanya kerana untuk melampiaskan niat politik sesetengah pihak. Apa yang benar dan hakikat - mesti diterima sebagai asas kepada sejarah bangsa. Cubaan untuk merubah sejarah, dalam apa jua perspektif sekalipun; adalah suatu cubaan yang tidak bertanggungjawab.

No comments: