Monday, September 15, 2008

Kepemimpinan dinamik

Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my

Akept kendali program mantapkan barisan pengurusan tertinggi universiti

MERINTIS usaha menubuhkan Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (Akept) pada Januari 2008 adalah antara strategi Kementerian Pengajian Tinggi memperkasakan kepimpinan dinamik universiti.

Idea penubuhan Akept itu disifatkan lambang kesungguhan dan komitmen Kementerian berkenaan untuk melihat barisan kepimpinan universiti lebih berprestij dan berkaliber.

Diterajui Prof Datuk Dr Ahmad Zainuddin selaku Pengarah, akademi itu menggariskan misi memacu usaha ke arah kecemerlangan pendidikan tinggi menerusi pembangunan kepimpinan dan amalan terbaik pengurusan, kualiti pengajaran serta pembelajaran, penyelidikan dan inovasi.

Misi itu penting bagi kelangsungan menjadikan Malaysia sebagai pusat pendidikan tinggi di rantau ini, selain pemangkin ke arah kejayaan pelaksanaan Pelan Strategik Pengajian Tinggi yang dilancarkan pada Ogos 2007.

Ahmad, berkata sebagai badan penting menjayakan pelan itu, Akept bertanggungjawab mengatur perancangan dan program kepimpinan peringkat pengurusan tertinggi universiti.

Katanya, ini termasuklah usaha memantapkan kepemimpinan peringkat lembaga pengarah universiti, naib canselor dan dekan.

“Peranan itu lebih ketara apabila soal autonomi (di universiti) yang akan dilaksanakan tidak lama lagi dengan pengumuman Universiti Sains Malaysia sebagai Universiti Apex yang sememangnya tidak menafikan kepentingan kepemimpinan akademik yang dinamik, berpengalaman dan proaktif pada pelbagai peringkat.

“Kepemimpinan unik seorang pemimpin yang baik merangkumi kebolehan memberikan hala tuju yang jelas, menggalakkan organisasi supaya cenderung kepada pendidikan, memacu organisasi supaya lebih berkesan dan berkeperibadian yang menyokong usaha percambahan ilmu,” katanya.

Beliau menjelaskan, faktor kritikal yang menentukan pencapaian cemerlang organisasi institusi pengajian tinggi adalah pengurusan yang baik dan kepemimpinan strategik.

Justeru, katanya, Akept akan memastikan pemimpin universiti diperkasakan dengan kemahiran strategik dan mereka perlu disesuaikan dengan keperluan semasa serta memainkan peranan sebagai cendekiawan profesional.

“Setakat ini, Akept menganjurkan 12 program membabitkan penyertaan hampir 1,200 peserta kalangan pengurusan universiti biarpun usia penubuhan belum mencecah setahun jagung.

“Enam teras dalam Pelan Pengajian Strategik Pengajian Tinggi menjadi panduan Akept dalam merencanakan setiap perancangan program yang diatur dengan mengambil kira aspek analisa latihan dan bentuk kepimpinan yang diperlukan universiti.

“Selain itu, kita turut mengenal pasti 50 kompetensi atau kepakaran yang dijadikan asas kepercayaan dalam setiap program latihan yang dianjurkan,” katanya.

INFO

Empat peranan Akept merangkumi


  • Membangunkan kapasiti kepimpinan pengajian tinggi dengan menyediakan program kepimpinan pragmatik dan relevan

  • Menyedia dan memantapkan budaya penyelidikan melalui peluasan pengetahuan dan idea menerusi pemahaman ke arah kepimpinan organisasi berkesan

  • Menggiatkan inovasi pengajaran dan pembelajaran menerusi kegiatan penyelidikan dan pembangunan

  • Membangun talent pool pemimpin pendidikan tinggi dengan kemahiran yang relevan dan budaya kecemerlangan
  • No comments: