Monday, June 29, 2009

Biasiswa nasional: GPMS SOKONG DENGAN SISTEM MERIT YANG LEBIH MENYELURUH

GPMS menyambut baik saranan dan komitmen kerajaan untuk mewujudkan skim ‘Biasiswa Nasional’ untuk kalangan pelajar yang terbaik, tanpa mengira kaum bermula pada tahun hadapan. Pembentukan skim biasiswa baru ini diharapkan benar-benar dapat memberikan ruang yang lebih luas buat kelompok pelajar mencatatkan prestasi yang terbaik bagi mendapatkan biasiswa kerajaan.

Presiden GPMS, Dato' Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, GPMS ingin mengusulkan agar kaedah ‘merit’ yang bakal dilaksanakan dalam penganugerahan ‘Biasiswa Nasional’ adalah bersifat lebih holistik dan menyeluruh.

Ini adalah berdasarkan niat untuk memastikan pendemokrasian akses kepada peluang berkualiti dapat benar-benar diterima dan dihargai oleh seluruh masyarakat. Kaedah mengukur kecemerlangan mesti dinilai bukan sahaja berdasarkan ‘kemampuan akademik’, tetapi merangkumi elemen-elemen lain yang turut dinilai sama.

Bagi memastikan ‘Biasiswa Nasional’ mempunyai prestij dan dihargai, GPMS mengusulkan agar sistem pemberat (weightage system) yang digunakan dalam penganugerahan biasiswa diberikan pertimbangan yang sebaiknya. Antara yang mahu diusulkan GPMS adalah:-

1. Kecemerlangan Akademik (kekal menjadi asas utama kepada penganugerahan biasiswa);

2. Penglibatan ko-kurikulum yang lebih aktif.

Dengan wujudnya jumlah subjek yang terhad di peringkat SPM, kelompok pelajar sewajarnya lebih aktif dalam ko-kurikulum, akademik dan bukan akademik.

Meletakkan peratusan pemberat yang lebih tinggi kepada kegiatan kokurikulum dirasakan penting bagi memberikan ruang kepada pembinaan sahsiah dan kemampuan yang lebih terserlah di kalangan generasi muda. Kita mahu mewujudkan kalangan yang lebih patriotik, sekaligus mempunyai ‘cita bangsa’ yang lebih mendalam.

3. Status sosioekonomi (wajar diberikan pertimbangan yang lebih menyeluruh).

Sebagai mewakili pertubuhan berkepentingan pelajar Melayu, GPMS mahu menyampaikan harapan dan hasrat masyarakat di bawah dengan sistem yang lebih ‘mesra’ dengan kedudukan sebenar mereka. ‘Kualiti’ pencapaian 10A1 seorang pelajar di Kuala Lumpur misalnya – pastinya tidak sama dengan ‘kualiti’ seorang pelajar yang sama pencapaiannya di Tanah Tinggi Bario (Sarawak) mahupun di kawasan seperti di Kinabatangan di Sabah. Biasiswa Nasional mesti reflektif kepada asas-asas yang demikian sifatnya.

GPMS tidak mahu ‘Biasiswa Nasional’ sekadar menjadi skim biasiswa biasa. Justeru, ianya mesti dipastikan untuk mengambil kira kaedah ‘merit’ yang lebih menyeluruh. Kelompok penerima ‘Biasiswa Nasional’ mestilah juga dipastikan mereka yang mempunyai cita dan ‘semangat patriotisme’ yang tinggi. Ini bagi memastikan mereka tidak menganggap biasiswa sebagai hak eksklusif, tetapi lebih sebagai amanah untuk membawa kecemerlangan jangka panjang kepada Negara.

Biasiswa Nasional – adalah komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh kerajaan dalam merealisasikan hasrat ‘1 Malaysia’. Hasrat ini mesti dirasai, samada kepada kelompok pelajar di Bandar mahupun luar Bandar.

sumber :www.sahabat-gunung.com

No comments: