Tuesday, June 23, 2009

Unisel tumpuan tokoh akademik sains Islam sedunia

SHAH ALAM: Universiti Industri Selangor (Unisel) yang meraikan ulang tahun ke-10 hari ini melangkah gagah ke arena akademik antarabangsa apabila terpilih sebagai penganjur dan tuan rumah Persidangan Perhimpunan Agong Sains Akademi Sains Dunia Islam (IAS) Tahunan 2009 pada 14 hingga 17 Disember ini di Shah Alam, Selangor.

Naib Canselor Unisel, Datuk Dr Rosti Saruwono berkata, pemilihan Unisel adalah satu pengiktirafan kepada universiti sekali gus mengangkat martabat universiti di peringkat antarabangsa melalui pembangunan program akademik dan pembangunan insan.

Beliau berkata, seminar antarabangsa tahunan itu bakal mengumpulkan lebih 300 tokoh akademik sains Islam semasa bagi membincangkan pencapaian sains dan bioteknologi Islam.

Ia persidangan yang ke-17 diadakan dan pada tahun lalu persidangan IAS diadakan di Kazan, Tatarstan.

“Unisel selaku tuan rumah bersama Akademi Sains Hayat dan Bioteknologi Islam Antarabangsa (IIALSB) amat berbangga dengan penghargaan dan kepercayaan yang diberikan oleh IAS beribu pejabat di Jordan.

“Persidangan ini memberi peluang kepada semua saintis Unisel dan saintis Islam di negara ini mendekati tokoh sains Islam antarabangsa yang terkenal dan mendapat pendedahan dengan lebih menyeluruh perkembangan sains dalam dunia Islam,” katanya ketika ditemui.

Katanya, persidangan empat hari itu memberi tumpuan kepada keselamatan makanan, polisi S&T, teknologi terbaru, pemindahan teknologi, sumber manusia S&T, kesihatan dan nutrisi; pendidikan sains, bioteknologi, tenaga, alam sekitar dan pembangunan, sumber air, teknologi maklumat, nano teknologi dan sumber asli.

Selain Unisel, empat lagi universiti tempatan yang turut mengambil bahagian dalam pameran saintifik pada persidangan yang sama ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang semuanya di Selangor dan membentuk Rangkaian Kecemerlangan Pusat Bioteknologi Selangor (BioCENet Sel), Akademi Islam Antarabangsa Sains Hayat dan Bioteknologi (IIALSB).

Persidangan ini menjadi sebahagian daripada agenda antarabangsa IIALSB dalam usaha menjadi Malaysia sebagai hab sains hayat dan bioteknologi Islam sedunia.

Beliau berkata, persidangan ini dijangka mampu meningkatkan keprihatinan dan pengetahuan masyarakat dan wanita Islam di negara Pertubuhan Persidangan Dunia Islam (OIC), mengenal pasti masalah penyelidikan dan pembangunan (R&D) di kalangan negara OIC, menjalin hubungan erat dengan sektor sains swasta serta media; serta meningkatkan jumlah penyertaan remaja dari negara OIC dalam bidang sains teknologi dan inovasi (STI).


sumber: Berita Harian, 23Jun2009

No comments: