Tuesday, October 21, 2008

GMPS Gesa Kekalkan ISA, UiTM

SHAH ALAM - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor semalam mengemukakan pendirian bahawa Universiti Teknologi Mara (UiTM) harus mengekalkan keadaan sekarang tanpa membuka kuota kepada pelajar bukan Bumiputera.

Pengerusi GPMS, Mohamad Mustafa Latif mewakili seluruh ahli GPMS negeri ini menegaskan bahawa bangsa Melayu perlu mempertahankan keistimewaan yang dianugerahkan ini sampai bila-bila.

“Kita tidak mahu UiTM diberikan kepada bangsa lain kerana itulah satu-satunya harta yang kita ada dan kita seharusnya mempertahankan hak itu.

“Dari segi persaingan pula, saya percaya anak Melayu ramai yang bijak pandai dan mereka boleh bersaing secara sihat di kalangan mereka untuk memantapkan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor 2008 bertempat di Universiti Industri Selangor (Unisel), di sini.

Beliau yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan berkata UiTM merupakan benteng terakhir orang Melayu bagi memperkukuhkan kedudukan agar tidak tercicir terutamanya dalam sistem pendidikan negara.

Sementara itu, beliau berkata GPMS Selangor turut mahu Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) dikekalkan kerana akta berkenaan mapu menjamin keselamatan negara ini daripada anasir-anasir yang berniat jahat sehingga boleh mengganggu gugat keharmonian serta hubungan antara kaum.

“ISA adalah benteng terakhir yang boleh menyelamatkan negara kita. Saya mohon kepada pihak yang mahu ISA dihapuskan agar berfikir semula kerana sekiranya tiada akta tersebut di negara kita, bagaimana pihak kerajaan mahu menangani kes-kes seperti rusuhan kaum, tunjuk perasaan dan sebagainya,” katanya.

Beliau yang juga Yang Dipertua GPMS Gombak mengingatkan kembali bahawa selama ini ISA telah menyelamatkan negara dari anasir-anasir yang cuba menggugat keharmonian negara.

“Kami amat berharap agar akta ISA teruskan dikekalkan kecuali beberapa elemen kecil yang perlu diperhalus supaya lebih telus dan adil,” katanya.

Bagi menunjukkan sokongan berkenaan, ahli-ahli GMPS Selangor menurunkan tanda tangan pada sebuah buku khas dan kain rentang yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Dalam perkembangan yang sama, beliau meminta agar GMPS yang akan diserapkan di bawah Akta Belia dikaji semula kerana akan memberi kesan jika peralihan secara drastik dilaksanakan tahun hadapan.

“Sebelum penguatkuasaan, ahli yang berusia lebih 40 tahun boleh meneruskan tugasan seperti biasa, tetapi selepas itu mereka hanya boleh menjadi ahli biasa tidak boleh mengundi dan diundi. Malah jawatan hanya boleh disandang ahli yang berusia 40 tahun ke bawah.

“Ia bertujuan untuk memberi peluang kepada generasi baru untuk memegang jawatan di dalam persatuan dan melatih mereka untuk meneruskan kepimpinan yang sedia ada hari ini,” ujarnya.

Tambahnya, setiap cawangan perlulah agresif dan proaktif bagi memenuhi cita rasa dan inspirasi generasi muda hari ini dalam membentuk belia ke arah yang lebih positif.

2 comments:

sahabat gunung said...

GMPS ke atau GPMS?

Pihak Pengurusan perlu ambil berat sikit apa yang terpapar dalam blog ini.

Kalau bukan kita yang nak jaga nama baik GPMS, takkan nak harap orang lain plak yang nak jaga nama GPMS.... hehehehe

Muhamad Affandi Abd Malik said...

ISA akta zalim yang bertentangan dengan nilai dan prinsip islam..GPMS sepatutnya menyokong mansuhkan ISA kerana paksi anda Islam..Ke MElayu dahulu?Islam-Melayu kan..